Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat seluruh dunia menyaksikan perubahan seismik dalam cara maklumat dalam talian dicipta dan dikongsikan. Banyak kajian menunjukkan bahawa ruang Internet yang terpecah dan terpolarisasi menjejaskan kepercayaan orang ramai secara mendadak terhadap perkara yang dilihat dan dipercayai dalam talian. Golongan muda menemui komuniti di ruang-ruang digital dan forum-forum yang masih belum wujud beberapa tahun lalu. Salah maklumat membanjiri suapan kita dan konsep fakta yang neutral serta sahih kini sedang dicabar.
Mendepani isu ini, Wikipedia telah berevolusi menjadi antara laman web paling dipercayai di Internet dan sumber data utama bagi segala-galanya, daripada ChatGPT hingga Siri, sehinggalah apa jua carian dalam telefon anda.
Kebanyakan orang menggunakan Wikipedia. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang memahami cara Wikipedia berfungsi. Ia disokong oleh sistem yang membantu memastikan maklumat kekal sahih dan sentiasa ditambah baik oleh pengguna yang mengemas kininya secara berterusan, setiap hari dan setiap jam.
Justeru, kami melancarkan siri ini untuk berkongsi dasar, peraturan, sistem, dan kaedah kerja yang telah memacu perkembangannya sebagai salah satu platform paling ikonik di Internet.
Setiap hari, ratusan ribu penyunting sukarela menerapkan sistem ini untuk membina dan menambah baik ensiklopedia dalam talian terbesar di dunia yang menerima lebih daripada 15 bilion kunjungan setiap bulan. Mereka bekerjasama untuk mengelakkan bias, memerangi salah maklumat, menyelesaikan pertikaian dan memastikan Wikipedia kekal sebagai gedung ilmu yang dikumpul dan dikongsi secara bertanggungjawab.
Di bawah, kami menggariskan pelbagai lapisan perlindungan yang membentuk asas penghasilan kandungan di Wikipedia dan menjamin integriti maklumat yang anda baca. Rencana ini merupakan yang pertama dalam siri yang menelusuri kesemua lapisan perlindungan ini serta memberikan sorotan lebih mendalam mengenai satu model yang mampu membina konsensus tentang gambaran maklumat yang sahih dalam dunia yang sentiasa berubah.
Dasar kandungan teras
Segalanya bermula dengan tiga dasar teras yang memandu cara rencana (masukan ensiklopedia di Wikipedia) ditulis:
- Sudut pandangan neutral: Rencana-rencana Wikipedia mestilah menyampaikan maklumat secara adil seboleh yang mungkin tanpa berat sebelah (bias).
- Kebolehverifikasian: Semua maklumat mestilah bersumberkan rujukan sahih yang telah diterbitkan supaya pembaca boleh menyemaknya sendiri.
- Tiada penyelidikan asli: Wikipedia tidak menerbitkan pendapat peribadi atau tafsiran baharu, sebaliknya ia merumuskan perkara yang telah diterbitkan dalam penerbitan lain daripada sumber rujukan yang boleh dipercayai.
Secara bersama, kesemua ini membentuk satu set piawaian yang bertujuan untuk mengawal selia semua kandungan. Apabila para penyunting mengendalikan topik yang kompleks atau kontroversi, mereka sering berdebat tentang sumber yang wajar digunakan dan cara untuk menggambarkannya secara adil. Dari masa ke masa, apabila maklumat baharu tersedia, rencana-rencana ini berkembang dan bertambah baik. Dasar-dasar ini telah terbukti sangat berkesan dalam mencegah penyebaran salah maklumat atau propaganda tanpa kawalan seperti yang sering dilihat di tempat lain dalam talian.
Ketelusan rencana dan perbincangan
Setiap rencana Wikipedia dilengkapi dengan “mesin masa” tersendiri. Klik tab “Sejarah” di bahagian atas halaman dan anda boleh menelusuri setiap suntingan yang pernah dibuat, daripada pembetulan ralat ejaan yang kecil hinggalah penulisan semula secara besar-besaran serta menyaksikan proses perkembangan ilmu dalam masa nyata. Selain itu, setiap rencana mempunyai tab “Halaman perbincangan” yang membolehkan sesiapa sahaja melihat cara para penyunting menyelesaikan pertikaian, membahaskan sumber yang boleh dipercayai, dan mentafsir dasar Wikipedia secara terbuka; malah anda boleh turut serta jika melihat ruang untuk menambah baik rencana itu sendiri! Ketelusan radikal ini yang memaparkan perubahan yang berlaku serta bentuk kerjasama untuk mencapainya menjadikan Wikipedia sumber yang diyakini serta unik.
Semakan masa nyata dan langkah perlindungan
Wikipedia menyediakan alat yang membolehkan sesiapa sahaja memantau suntingan baharu semasa ia berlaku. Suapan langsung memaparkan setiap suntingan baharu sebaik sahaja ia dilakukan dan sukarelawan di seluruh dunia memantaunya secara berterusan, bersedia untuk mengesan vandalisme, bias atau kandungan berbahaya dalam masa beberapa saat. Kebiasaannya, vandalisme di Wikipedia diperbetulkan dalam tempoh beberapa minit atau malah beberapa saat. Sistem pembelajaran mesin turut membantu dengan menandai masalah yang jelas secara automatik seperti kata-kata kesat. Gabungan semakan manusia dan automatik ini menjadikan vandalisme sukar untuk terlepas daripada pandangan.
Penyelesaian pertikaian
Apabila para penyunting berselisih pendapat tentang kandungan, terdapat proses penyelesaian pertikaian yang berstruktur. Penyunting boleh mendapatkan pandangan tambahan, melibatkan pihak ketiga seperti penyunting sukarela lain atau memohon input komuniti yang lebih meluas secara rasmi. Proses ini mewujudkan ruang untuk kerjasama dan kompromi, serta membantu menukarkan potensi konflik menjadi usaha penyelesaian masalah yang membina.
Penyelia
Di Wikipedia, sebilangan penyunting sukarela yang berpengalaman diberi kepercayaan memikul tanggungjawab tambahan, mereka dikenali sebagai Penyelia, atau ringkasnya “admin”. Penyelia yang dipilih oleh komuniti ini mempunyai keizinan teknikal khas untuk bertindak apabila perlu iaitu mereka boleh menyekat akaun yang mengganggu, menghapuskan halaman yang bermasalah serta menguatkuasakan dasar kandungan dan tingkah laku. Pada kebiasaannya, para penyunting menyelesaikan isu secara kerjasama, namun apabila konflik tidak dapat diselesaikan, penyelia menyediakan keseimbangan antara autoriti dan kepercayaan yang memastikan Wikipedia beroperasi dengan lancar.
Perlindungan rencana
Kebanyakan rencana adalah terbuka untuk disunting oleh sesiapa sahaja, tetapi bagi kes vandalisme atau gangguan berulang, alat perlindungan boleh mengehadkan pihak yang boleh membuat perubahan secara sementara. Biasanya, ini bermakna hanya penyunting yang lebih berpengalaman boleh mengemas kini halaman tersebut bagi memberikan ruang untuk perbincangan yang teliti dan pembentukan konsensus sebelum suntingan baharu dipaparkan. Sebagai contoh, dasar perlindungan lanjutan di Wikipedia Bahasa Inggeris membenarkan penyunting yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 hari tempoh aktif dan 500 suntingan terdahulu untuk membuat perubahan pada halaman yang dilindungi. Tahap perlindungan ini tidak menutup akses rencana sepenuhnya, sebaliknya ia memperketat syarat penyertaan sebagai isyarat bahawa suntingan harus dilakukan oleh penyumbang yang memahami dasar kandungan Wikipedia. Langkah ini masih membenarkan pihak lain membincangkan kandungan tersebut di laman perbincangan. Matlamatnya adalah untuk memperlahankan rentak suntingan, menggalakkan perdebatan yang bernas serta memastikan dasar berkecuali dan penggunaan sumber yang boleh dipercayai menjadi panduan bagi perubahan penting
Jawatankuasa Timbang Tara
Pada peringkat tertinggi, sesetengah Wikipedia, termasuk Wikipedia Bahasa Inggeris mempunyai Jawatankuasa Timbang Tara (ArbCom) yang dipilih melalui undian dan terdiri daripada penyumbang sukarela yang berpengalaman. Panel yang dipercayai ini sering disamakan dengan “Mahkamah Agung” Wikipedia yang mengendalikan pertikaian rumit berkaitan pematuhan penyumbang Wikipedia terhadap dasar-dasar Wikipedia yang ketat. Kesemua tindakan penguatkuasaan ArbCom direkodkan secara umum dan boleh dirayu bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti.
Penyelidikan dan penambahbaikan
Akhir sekali, keterbukaan Wikipedia menjadikannya subjek yang kaya untuk penyelidikan akademik. Ratusan kajian telah diterbitkan mengenai kualiti, bias dan tadbir urus komunitinya. Oleh sebab seluruh data laman ini boleh diakses secara percuma, para penyelidik dapat mengulangi dapatan kajian, menguji andaian dan mencadangkan penambahbaikan. Yayasan Wikimedia menyokong penyelidikan sebegini kerana ia membantu mengenal pasti cabaran dan menyediakan cadangan berasaskan bukti kepada komuniti penyunting. Yayasan Wikimedia menggalakkan penyelidikan ini secara aktif bagi memperkukuh ensiklopedia tersebut dari masa ke masa.
Pintu terbuka untuk menjadikan Wikipedia lebih baik
Setiap lapisan ini tidak lengkap jika berasingan. Secara bersama, lapisan perlindungan ini membentuk satu sistem berdaya tahan yang melindungi dan menambah baik Wikipedia secara berterusan. Nadi utama Wikipedia ialah komuniti sukarelawannya: individu yang berdebat, belajar dan bekerjasama demi menegakkan wawasan sebuah ensiklopedia bebas dan boleh dipercayai untuk semua. Para sukarelawan ini turut memperkukuh lapisan perlindungan yang digariskan dalam penulisan ini dengan menyesuaikan dasar mengikut komuniti bahasa yang berbeza (terdapat lebih daripada 300 bahasa di Wikipedia!).
Sebagai ensiklopedia dalam talian yang bebas untuk semua, Wikipedia lebih mudah diakses berbanding buku-buku berjilid masa lalu yang sering kali mahal harganya. Ia telah menjadi salah satu sumber pengetahuan yang paling boleh dipercayai dan diyakini di dunia. Ditadbir oleh piawaian yang melindungi integriti maklumat, ia wujud demi memenuhi kepentingan awam, berbeza dengan mana-mana platform lain yang setara dengannya di internet.
Wikipedia bertujuan untuk menyampaikan, bukan untuk memujuk atau mempengaruhi pembaca.
Ia mempunyai berbilion pembaca, berjuta-juta penyokong dan ratusan ribu penyumbang sukarela dari seluruh Amerika Syarikat serta setiap benua. Wikipedia mendapat sokongan individu dari lebih 200 buah negara serta rakyat Amerika dari kesemua 50 buah negeri yang memberikan sumbangan purata sekitar lima belas dolar bagi menyokong misi pendidikan Wikipedia. Wikipedia ialah laman web yang direka untuk masyarakat umum dan dimiliki oleh mereka.
Wikipedia sentiasa dalam proses penambahbaikan. Sebagai usaha digital kerjasama terbesar dalam sejarah manusia, ia bersikap terbuka mengenai ketidaksempurnaannya. Para penyunting sukarela melakukan dan membetulkan kesilapan pada setiap hari. Malah, Wikipedia berkongsi secara telus contoh kesilapan yang pernah dilakukan dan dibetulkan pada masa lalu. Para penyunting berbincang, berdebat dan menyepadukan maklumat daripada pelbagai sumber serta sudut pandangan dengan teliti bagi mencapai kata sepakat dalam rencana. Rencana masih boleh diubah apabila terdapat maklumat sahih yang baharu atau sumber tambahan.
Wikipedia juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadikannya lebih baik. Kajian menunjukkan bahawa rencana yang paling berkualiti ialah rencana yang mempunyai jumlah penyumbang paling ramai serta sudut pandangan yang paling pelbagai. Cara terbaik untuk menambah baik Wikipedia adalah menerusi penglibatan individu, suntingan demi suntingan.
Ketika kita menelusuri zaman yang menyaksikan maklumat semakin hebat dipertikaikan berbanding sebelumnya, Wikipedia menawarkan contoh nyata mengenai usaha yang diperlukan untuk membina kepercayaan pada skala besar. Sistemnya memperlihatkan cara keterbukaan, akauntabiliti dan kerjasama mampu menghasilkan ilmu pengetahuan yang menjadi sandaran masyarakat dunia setiap hari.
Siri penulisan ini akan menjelaskan sistem tersebut, lapisan demi lapisan, bagi berkongsi mekanisme sebenar Wikipedia dan kemampuannya menginspirasikan piawaian baharu untuk zaman ini. Melalui pemahaman terhadap pelbagai bentuk perlindungan di Wikipedia ini, kita semua boleh mula membayangkan satu masa depan apabila pengetahuan sahih bukanlah pengecualian dalam talian, sebaliknya satu kelaziman.