Dengan keupayaan AI generatif untuk menjana teks dan video, dunia dalam talian telah berubah secara mendasar.
Namun, ramai tidak menyedari bahawa di sebalik semua kandungan janaan AI ini, terdapat sesuatu yang sangat biasa: pengetahuan yang dikumpulkan, dibahaskan dan didokumentasikan oleh manusia.
Inilah sebabnya peranan Wikipedia sebagai tulang belakang pengetahuan di Internet kian penting.
Mari kami jelaskan.
Pengetahuan ciptaan manusia tidak boleh digantikan
Baru-baru ini, pengkomunikasi sains Hank Green mempersoalkan masa depan AI dan sama ada ia akhirnya akan “memakan dirinya sendiri”. Hal ini kerana AI generatif tidak boleh wujud tanpa pengetahuan ciptaan manusia yang sentiasa dikemas kini, tanpanya, sistem AI akan mengalami kegagalan model.
Kekuatan Wikipedia terletak pada komuniti penyunting sukarelawannya yang besar dan aktif. Ratusan ribu sukarelawan sentiasa menambah baik maklumat di laman ini. Wikimedia Foundation, organisasi bukan keuntungan yang menyokong Wikipedia menyediakan sokongan teknologi dan perundangan. Namun begitu, kandungan Wikipedia ditulis dan ditentukan sepenuhnya oleh penyunting sukarelawan, bukan oleh Foundation.
Manusia menyumbang unsur dalam pembinaan pengetahuan yang tidak mampu digantikan oleh AI. Alat AI generatif hari ini boleh merumus atau menggabungkan maklumat sedia ada, tetapi tidak dapat menyertai proses perbincangan, perbahasan dan pembentukan persetujuan seperti yang berlaku di Wikipedia setiap hari. AI tidak boleh menyelongkar arkib lama atau turun padang mengambil gambar peristiwa dan lokasi yang belum didokumentasikan untuk membantu menambah baik pengetahuan tersebut. Selain itu, projek-projek Wikimedia tersedia dalam lebih 300 bahasa dan sering ditulis oleh penutur jati. Ini menyediakan korpus berbilang bahasa yang menyokong pembangunan model AI yang lebih inklusif dan peka budaya. Pendekatan penciptaan pengetahuan yang berpusatkan manusia ini menghasilkan maklumat yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai. Kaedah kerjasama editorial secara berterusan serta perbezaan pandangan membawa kepada rencana yang lebih neutral dan menyeluruh. Semakin ramai manusia mengambil bahagian dalam Wikipedia, semakin baik pengetahuan di Internet terbentuk.
Wikipedia juga cemerlang dari segi ketelusan. Setiap orang melihat maklumat yang sama di Wikipedia, tiada algoritma yang menjejak tingkah laku anda atau menyajikan kandungan untuk menjana keuntungan. Apabila anda membaca sesuatu maklumat, rujukan yang disertakan akan membawa anda kepada sumber yang boleh dipercayai supaya anda boleh mengesahkan individu yang pertama kali melaporkannya. Jika anda ingin mengetahui mengapa maklumat tersebut dimasukkan ke dalam sesuatu rencana, proses Wikipedia dan tindakan yang diambil oleh sukarelawan boleh diperiksa oleh sesiapa sahaja kerana semuanya direkodkan secara terbuka di laman web. Anda juga boleh menambah maklumat ke Wikipedia selaras dengan dasar dan garis panduan laman tersebut, sekali gus memastikan sumber pengetahuan yang hidup ini sentiasa dikemas kini. Keterbukaan inilah sebab Wikipedia kekal sebagai salah satu platform paling dipercayai di dunia. Sebaliknya, sistem AI generatif boleh “berhalusinasi” dengan menghasilkan maklumat palsu yang kedengaran munasabah sebagai fakta.
Adakah Wikipedia menggunakan AI?
Kami mengiktiraf potensi AI untuk membantu kami mencapai misi menjadikan maklumat yang boleh dipercayai lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang. Namun begitu, perkara ini mesti dilakukan mengikut cara Wikipedia iaitu menyokong manusia dalam mencipta dan berkongsi pengetahuan dan bukannya menggantikan mereka.
Sebagai contoh, kami mengetahui bahawa sebahagian besar masa sukarelawan Wikipedia dihabiskan untuk tugas rutin seperti menandakan vandalisme. Ini boleh mengalihkan perhatian daripada tugas yang lebih rumit seperti penciptaan kandungan dan semakan suntingan. Oleh itu, sebahagian besar strategi AI kami untuk penyunting yang dilancarkan awal tahun ini memberi tumpuan kepada cara untuk memberi lebih banyak masa kepada penyunting bagi melakukan kerja ensiklopedia yang penting.
Dalam semua keadaan, sukarelawan menetapkan dan menguatkuasakan garis panduan bagi penggunaan alat AI secara bertanggungjawab di seluruh Wikipedia bagi memastikan alat tersebut digunakan untuk menyokong penyumbang manusia dengan sebaiknya.
AI bergantung pada Wikipedia
AI tidak boleh wujud tanpa usaha manusia dalam membina sumber maklumat terbuka dan bukan keuntungan seperti Wikipedia. Itulah sebabnya Wikipedia merupakan antara set data berkualiti tertinggi di dunia untuk latihan A dan apabila pembangun AI cuba mengecualikannya, jawapan yang terhasil menjadi jauh kurang tepat, kurang pelbagai dan kurang boleh disahkan.
Atas sebab ini juga, kami menyeru pembangun AI dan pihak lain yang menggunakan semula kandungan kami supaya menggunakannya secara bertanggungjawab dan menyokong kelestarian Wikipedia. Ini boleh dilakukan melalui dua tindakan mudah iaitu atribusi dan sokongan kewangan.
Atribusi bermaksud AI generatif memberikan pengiktirafan kepada sumbangan manusia yang digunakan untuk menghasilkan outputnya. Ini mengekalkan kitaran positif dalam menyokong sumbangan manusia yang menjadi asas kepada data latihan teknologi baharu ini. Untuk memastikan orang ramai mempercayai maklumat yang dikongsi di internet, platform perlu menjelaskan sumber maklumat tersebut dan menggalakkan kunjungan serta penyertaan dalam sumber asalnya. Dengan kurang kunjungan ke Wikipedia, bilangan sukarelawan juga akan berkurang untuk mengembangkan dan memperkaya kandungan begitu juga penderma individu yang menyokong usaha ini.
Sokongan kewangan pula bermaksud kebanyakan pembangun AI perlu mengakses kandungan Wikipedia dengan betul melalui platform Wikimedia Enterprise. Produk berbayar secara pilihan ini yang dibangunkan oleh Wikimedia Foundation, membolehkan syarikat menggunakan kandungan Wikipedia pada skala besar secara mampan tanpa membebankan pelayan Wikipedia sambil menyokong misi bukan keuntungan kami.
Melalui atribusi sumber yang betul dan sokongan kewangan yang lebih baik terhadap kesan teknologi AI ke atas Wikipedia, pembangun AI dapat menjamin masa depan jangka panjang mereka sendiri dan juga Wikipedia.
Kesimpulan
Wikipedia ialah “tempat terbaik terakhir di Internet”. Ia satu-satunya laman berskala sebegini yang beroperasi berdasarkan piawaian kebolehsahan, keneutralan dan ketelusan. Ia juga menjadi pemacu maklumat di seluruh Internet dan terus memenuhi keperluan maklumat harian orang ramai dengan cara yang sering tidak disedari. Dalam dunia yang semakin dibanjiri AI, pengetahuan manusia di Wikipedia kini lebih bernilai kepada dunia berbanding sebelum ini.
Pada 15 Januari 2026, Wikipedia akan menyambut ulang tahunnya yang ke-25. Ketika kami merenung pencapaian ini, kami optimistik bahawa Wikipedia akan terus wujud untuk 25 tahun akan datang dan seterusnya bagi memastikan Internet terus menyediakan pengetahuan bebas, tepat dan berteraskan manusia untuk generasi akan datang.