Berikut satu fakta menarik untuk dikongsi di majlis anda yang seterusnya: Daripada sepuluh laman web paling banyak dilawati di dunia, Wikipedia ialah satu-satunya yang dikendalikan oleh sebuah organisasi bukan keuntungan, iaitu Wikimedia Foundation.
Dalam peranan ini, kami bertanggungjawab untuk mengehos dan melindungi Wikipedia serta projek-projek Wikimedia yang lain. Kami tidak memainkan peranan editorial di Wikipedia. Sebaliknya, semua maklumat yang anda baca di Wikipedia dicipta dan disusun oleh ratusan ribu sukarelawan di seluruh dunia. Bersama-sama, mereka mengumpul dan berkongsi maklumat mengenai subjek terkemuka dengan memetik sumber yang boleh dipercayai seperti rencana akhbar dan jurnal akademik semakan rakan setara mengikut dasar dan garis panduan editorial ensiklopedia yang juga dibangunkan oleh para sukarelawan.
Selain model tadbir urus kandungan yang diterajui manusia, satu lagi keistimewaan Wikipedia ialah ia tidak bergantung kepada iklan, yuran langganan atau penjualan data peribadi pengguna sebagai sumber pembiayaan. Sebaliknya, sebahagian besar pembiayaan kami datang daripada sumbangan pembaca dengan purata sumbangan sebanyak USD11.
Melaksanakan misi Wikipedia yang unik dan penting iaitu membawa pengetahuan kepada semua orang di seluruh dunia memerlukan pelaburan yang besar dan berterusan. Di bawah ini, kami menerangkan bagaimana sumbangan anda digunakan dan bagaimana ia menyokong kelangsungan Wikipedia. Kami menitikberatkan ketelusan dan anda juga boleh meneliti butiran lanjut melalui laporan kewangan kami yang tersedia untuk umum.
Teknologi
Hampir separuh (45%) daripada bajet kami diperuntukkan untuk menyokong teknologi yang menggerakkan Wikipedia dan projek-projek Wikimedia yang lain. Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik pengalaman pengguna, sama ada bagi penyumbang mahupun pembaca, juga meningkatkan keselamatan laman dan memastikan akses yang boleh dipercayai ke laman web kami di seluruh dunia. Usaha ini membantu mengekalkan sebuah laman web global teratas dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding laman web komersial popular, dalam persekitaran Internet yang berubah dengan pantas.
Apabila anda membuka sesuatu rencana di Wikipedia, rencana tersebut dihantar kepada anda melalui salah satu daripada tujuh pusat data kami di seluruh dunia. Kami menambah pusat data terbaharu di Brazil pada tahun 2024 yang serta-merta mengurangkan purata masa memuatkan Wikipedia bagi pembaca di Brazil sebanyak satu pertiga saat. Ini penting kerana ia membantu orang ramai mendapatkan pengetahuan kritikal dengan lebih pantas. Pusat-pusat data ini juga memastikan Wikipedia kekal dalam talian ketika lonjakan trafik luar biasa seperti 800,000 permintaan sesaat yang kami alami apabila seorang paus baharu dipilih pada pertengahan tahun 2025.
Selain itu, Wikipedia merupakan salah satu set data berkualiti tinggi yang digunakan dalam latihan model bahasa besar (LLM). Memandangkan syarikat teknologi semakin banyak mengekstrak kandungan buatan manusia kami, pelaburan berterusan dalam infrastruktur menjadi amat penting bagi memastikan sambungan yang pantas, boleh dipercayai dan selamat untuk setiap orang di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk menyampaikan pengetahuan Wikipedia merentasi pelbagai format dan peranti.
Foundation juga telah meningkatkan pelaburan dalam alat-alat yang membantu penyunting sukarelawan mengembangkan pengetahuan di laman ini supaya Wikipedia kekal relevan, tepat dan berguna. Sebagai contoh, alat terjemahan kandungan kami telah digunakan untuk menterjemahkan lebih 2.4 juta daripada 65 juta rencana Wikipedia setakat ini. Pelaburan seperti ini membantu Wikipedia mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu laman paling pelbagai bahasa di dunia dengan kandungan tersedia dalam lebih 300 bahasa. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami juga telah menambah mod gelap pada laman Wikimedia untuk meningkatkan kebolehcapaian, memudahkan paparan data di Wikipedia dan banyak lagi.
Kami juga melabur dalam usaha menjangkau khalayak baharu dan lebih muda dengan membangunkan eksperimen untuk memahami cara terbaik melibatkan mereka dengan misi kami. Ini termasuk mendekati orang ramai melalui platform video pendek, permainan dan saluran-saluran lain.
Mengekalkan infrastruktur seperti ini serta memastikan Wikipedia sentiasa dalam talian, tersedia, selamat dan boleh diakses oleh ratusan juta pembaca dan penyunting di seluruh dunia memerlukan sumber kewangan dan tenaga kerja yang besar.
Sukarelawan
Kira-kira satu pertiga (32%) daripada bajet kami diperuntukkan untuk menyokong para sukarelawan. Hasil kerja merekalah yang menjadi asas kepada semua maklumat yang anda lihat di Wikipedia.
Kami menyediakan alatan yang diperlukan oleh sukarelawan untuk berjaya, sama ada melalui pembangunan ciri yang memudahkan proses penyuntingan Wikipedia, mahupun sistem sokongan yang membantu mengesan vandalisme dengan lebih pantas dan mudah. Kami juga menyokong pertumbuhan komuniti penyunting sukarelawan di seluruh dunia untuk menambah baik kandungan Wikipedia, menutup jurang pengetahuan dan menjadikannya lebih mencerminkan dunia sebenar.
Wikipedia dibina berteraskan prinsip bahawa ia menjadi lebih baik apabila lebih ramai orang daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan menyumbang maklumat yang neutral dan bersumberkan rujukan kukuh. Program geran kami mendukung aspirasi ini. Pada tahun kewangan 2024–2025, kami menyalurkan USD18,232,260 melalui 417 geran, peningkatan sebanyak USD1.8 juta berbanding tahun sebelumnya. Semua geran ini didokumentasikan secara telus. Geran kami tidak menentukan kandungan di Wikipedia. Sebaliknya, ia menyokong sukarelawan dan kumpulan yang memastikan Wikipedia kekal tepat, neutral dan mewakili keseluruhan pengetahuan dunia serta kepelbagaian perspektif. Sebagai contoh, kami memberikan USD180,000 kepada Wiki Project Med Foundation untuk membantu mereka meneruskan usaha menyediakan maklumat kesihatan dan perubatan berkualiti di projek-projek Wikimedia.
Selain itu, kami menjalankan usaha perundangan dan advokasi untuk melindungi hak orang ramai mengakses dan menyumbang kepada pengetahuan bebas. Ini termasuk melindungi hak kebebasan bersuara, menentang penapisan oleh kerajaan, serta mendidik kerajaan, pengawal selia dan penggubal undang-undang untuk mempertahankan hak orang ramai mengakses dan berkongsi pengetahuan secara global. Ketika ancaman terhadap model kami semakin meningkat di seluruh dunia, usaha ini menjadi semakin penting bagi memastikan akses kepada maklumat bebas dan boleh dipercayai terus dilindungi.
Perbelanjaan am
Seperti organisasi bukan keuntungan yang lain, kami mempunyai keperluan sokongan operasi standard merangkumi 12% daripada bajet kami. Pelbagai perkhidmatan bersama diperlukan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan piawaian perakaunan yang diterima umum. Ini termasuk sumber manusia, kewangan, perundangan, komunikasi, teknologi maklumat dan banyak lagi. Kesemuanya membolehkan kami mengendalikan organisasi yang cekap dan berkesan, serta menyokong komuniti sukarelawan, kakitangan dan pembaca kami di seluruh dunia.
Sebanyak 11% lagi daripada bajet kami diperuntukkan untuk sokongan penderma, yang amat penting bagi kelestarian Wikipedia dan projek-projek Wikimedia yang lain. Pasukan kami mampu memberi respons kepada penderma dalam 25 bahasa dan kami komited terhadap usaha pengumpulan dana yang cekap dan berkesan sepanjang tahun bagi memastikan setiap sumbangan membantu memajukan misi kami. Setiap derma yang diterima dilaburkan semula untuk menyokong Wikipedia, projek-projek Wikimedia lain dan misi pengetahuan bebas kami.
Kecekapan keseluruhan inilah antara sebab kami menerima penarafan tertinggi daripada Charity Navigator serta Platinum Seal of Transparency daripada Candid (dahulunya dikenali sebagai GuideStar).
Melangkah ke hadapan
Wikipedia wujud kerana jutaan orang di seluruh dunia percaya bahawa ilmu pengetahuan seharusnya menjadi milik bersama. Sepanjang 25 tahun yang lalu, tindakan-tindakan kecil yang bermurah hati ini telah bergabung untuk memastikan salah satu ruang terbuka terakhir di dunia agar benar-benar bebas dan berdikari. Kami berharap anda akan menyertai kami dalam meneruskan sokongan terhadap Wikipedia untuk 25 tahun lagi dan masa hadapan.
“Saya amat berterima kasih kepada Wikipedia kerana terus memelihara kandungan berasaskan fakta. Saya menghargai keperluannya kepada penderma bagi membolehkan Wikipedia kekal bebas. Pada zaman ini, usaha Wikipedia terasa seperti tunjang kepada demokrasi.”
Penderma
●Kanada
“Saya percaya Wikipedia adalah ciptaan paling bernilai sejak kemunculan internet. ‘Daripada rakyat, untuk rakyat.’ Nilainya berkembang pesat saban tahun tatkala kita berdepan dengan penyimpangan maklumat sepertimana yang kita kenali dahulu.”
Penderma
●AS
“Dalam dunia apabila pendidikan dan ilmu sering kali ‘dihalang tembok bayaran’, ia amat menakjubkan bagi saya apabila Wikipedia kekal BEBAS sebagai portal yang amat bernilai dan boleh diakses segera untuk segala jenis maklumat—sama ada yang rumit dan mempesonakan mahupun yang asas dan ringkas.”
Penderma
● New Zealand
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang pembiayaan kami, sila rujuk catatan blog ini atau soalan lazim kami.


