Bagaimanakah Wikipedia dibiayai?

Selama hampir 25 tahun, Wikipedia telah berkembang menjadi tulang belakang pengetahuan di Internet. Permulaanya sebagai satu impian yang kelihatan sangat berani dan mungkin mustahil, kini, ia menjadi sumber pengetahuan penting untuk seluruh manusia. Ia mengandungi lebih 65 juta rencana dalam lebih 300 bahasa dan semuanya dibiayai oleh pembaca seperti anda.

Wikipedia dipenuhi dengan ilmu pengetahuan hasil sumbangan hampir 250,000 orang sukarelawan daripada pelbagai latar belakang. Mereka menyunting rencana-rencana, menyemak fakta-fakta, membaiki kod serta mendokumentasikan maklumat dari sudut pandang neutral. Bersama-sama, mereka menjadikan pengetahuan di Internet lebih baik. Berjuta-juta pembaca mengunjungi Wikipedia setiap hari dan mendapat manfaat daripada usaha ini tanpa iklan, tembok bayaran mahupun penjejakan pengguna. Namun, pernahkah anda terfikir siapa yang menanggung kos untuk memastikan Wikipedia terus beroperasi?

Wikipedia menggunakan model pembiayaan yang unik dengan pergantungan utamanya daripada sumbangan orang ramai yang percaya bahawa pengetahuan seharusnya dimiliki oleh semua masyarakat. Malah, daripada semua laman web paling kerap dilawati di dunia, Wikipedia adalah satu-satunya yang dikendalikan oleh organisasi bukan keuntungan, iaitu Wikimedia Foundation. Model pembiayaan berasaskan pembaca ini melindungi kebebasan Wikipedia. Ia beroperasi dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding laman web besar lain, dan setiap sumbangan yang diterima dilaburkan semula untuk menyokong Wikipedia serta cita-cita menjadikan pengetahuan yang boleh dipercayai dapat diakses oleh semua.

Mari kita telusuri dengan lebih mendalam.

Siapakah yang mengendalikan Wikipedia?

Wikimedia Foundation ialah sebuah organisasi bukan keuntungan berstatus 501(c)(3) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Dalam kerangka undang-undang ini, kami beroperasi sebagai badan kebajikan awam dengan misi pendidikan iaitu menjadikan pengetahuan boleh diakses oleh semua orang. Kami melaksanakan misi ini dengan menyokong Wikipedia serta beberapa projek saudara sumber terbuka yang lain termasuk Wikimedia Commons, Wikidata, Wikisource dan banyak lagi.

Misi kami adalah untuk menyediakan pengetahuan secara bebas – tanpa pengaruh komersial dan sekatan. Kami menghoskan infrastruktur teknologi yang membolehkan berbilion lawatan ke Wikipedia setiap bulan. Melalui pelaburan berterusan dalam teknologi, Wikipedia mampu menangani lonjakan trafik yang luar biasa tanpa menjejaskan pengalaman membaca atau menyunting. 

Sejak penubuhan kami pada tahun 2003, kami telah menyokong ratusan ribu penyunting sukarelawan yang menyunting, mengembangkan dan menyusun kandungan di projek Wikimedia. Kami menyediakan alat-alat terkini kepada mereka, memastikan akses ke Wikipedia adalah pantas, selamat dan peribadi. Kami juga menyalurkan dana kepada individu serta organisasi di seluruh dunia untuk memperkaya kandungan Wikipedia, di samping menjalankan usaha perundangan dan advokasi demi melindungi hak orang ramai terhadap pengetahuan bebas.

Bagaimanakah Wikipedia dibiayai?

Sokongan penderma akar umbi

Utamanya, Wikipedia dibiayai melalui sumbangan sekali atau bulanan daripada berjuta-juta individu di seluruh dunia. Sebahagian besar dana kami datang daripada pembaca biasa Wikipedia di lebih 200 negara yang menyumbang USD11 atau kurang. Ramai daripada mereka memberitahu kami bahawa mereka menyokong misi Wikipedia kerana menghargai nilai yang ditawarkan dan prinsip yang diperjuangkannya.

Model pembiayaan ini mencerminkan nilai kami: dibina oleh manusia, untuk manusia. Ia juga melindungi kebebasan Wikipedia dengan mengehadkan pengaruh mana-mana individu atau organisasi ke atas kandungannya.

Apakah sumber pembiayaan lain Wikipedia?

Selain sumbangan orang ramai, baki dana kami datang daripada tiga sumber utama: sumbangan besar, dana endowmen dan Wikimedia Enterprise.

Sumbangan besar

Setiap tahun, kira-kira 2,000 individu dan institusi menyumbang lebih daripada USD1,000 kepada Wikimedia Foundation. Kebanyakan sumbangan ini tidak terhad kepada operasi am Foundation maka ia membolehkan Foundation menentukan penggunaan terbaik dana tersebut. Sebilangan kecil sumbangan bersyarat dibuat setiap tahun yang membolehkan penderma memberi impak khusus terhadap misi kami. Antara contoh terkini ialah sokongan daripada Rockefeller Foundation dan Google.org untuk pembangunan Abstract Wikipedia, sebuah projek untuk membolehkan lebih ramai orang berkongsi lebih banyak pengetahuan dalam lebih banyak bahasa, juga sokongan Alfred P. Sloan Foundation terhadap strategi AI kami.

Wikimedia Endowment

Wikimedia Endowment ditubuhkan pada tahun 2016 sebagai dana simpanan kekal untuk menjana pendapatan bagi menyokong operasi dan aktiviti projek-projek Wikimedia untuk selama-lamanya. Ia merupakan badan kebajikan berstatus 501(c)(3), berasingan daripada Wikimedia Foundation dan beribu pejabat di Amerika Syarikat. Dana endowmen membolehkan perancangan kewangan secara proaktif bagi organisasi yang membawa misi merentas generasi. Sumbangan kepada Wikimedia Endowment menyokong asas kewangan yang kukuh untuk masa depan serta keselamatan jangka panjang Wikipedia dan misinya. Sebaliknya, Wikimedia Foundation mengumpul dana untuk menyokong operasi harian.

Ketika ekonomi makmur, endowmen berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan dan inovasi. Ketika keadaan ekonomi mencabar, endowmen membantu membiayai operasi paling kritikal yang memastikan projek-projek Wikimedia terus berfungsi. Pada masa ini, geran daripada endowmen membiayai inovasi teknikal supaya projek Wikimedia termasuk Wikipedia kekal relevan dalam era perubahan teknologi yang pesat.

Wikimedia Enterprise

Puluhan model kecerdasan buatan generatif menggunakan kandungan daripada Wikipedia dan projek-projek Wikimedia lain untuk menyampaikan hasil carian dan perkhidmatan baharu. Syarikat teknologi semakin kerap mengekstrak kandungan buatan manusia ini dan mengedarkannya melalui pengalaman carian serta teknologi baharu lain. Sebanyak 65% trafik paling mahal kami kini datang daripada pengguna semula berskala besar seperti ini. Kesemua aktiviti ini menggunakan lebar jalur dan sumber yang kami perlukan untuk menyokong projek Wikimedia, para penyumbang dan pembaca.

Pada tahun 2021, Wikimedia Foundation menubuhkan Wikimedia Enterprise sebagai produk komersial untuk pengguna dan pengedar kandungan Wikimedia pada skala besar. Ia merupakan produk pilihan (opt-in) yang membolehkan syarikat menggunakan kandungan Wikipedia secara berskala dan mampan tanpa membebankan pelayan Wikipedia, sambil menyokong misi bukan keuntungan kami. Apabila digunakan pada jumlah atau kelajuan yang tinggi, perkhidmatan ini dikenakan bayaran. Kandungan kami adalah (dan akan sentiasa) bebas untuk digunakan oleh manusia, namun perkara ini tidak pernah bertujuan untuk meliputi syarikat yang memperoleh keuntungan besar daripada hasil kerja komuniti sukarelawan kami.

Ringkasnya: kandungan Wikipedia adalah bebas, tetapi infrastrukturnya tidak.

Bagaimanakah saya boleh mengesahkan semua maklumat ini?

Misi Wikimedia Foundation untuk memperkasa orang ramai di seluruh dunia mengumpul, membangunkan dan berkongsi pengetahuan hanya boleh dicapai melalui gabungan kepercayaan dan ketelusan. Oleh sebab itu, kami secara berkala menerbitkan pelan tahunan, laporan tahunan, serta laporan kewangan (termasuk audit tahunan oleh firma bebas selaras dengan amalan terbaik organisasi bukan keuntungan). Dokumen-dokumen ini menerangkan kaedah  dana dikumpul serta digunakan dan semuanya tersedia untuk semakan serta analisis umum. Usaha ketelusan kami telah memperoleh penarafan tertinggi daripada Charity Navigator serta Platinum Seal of Transparency daripada Candid (dahulunya dikenali sebagai GuideStar).

Wikipedia bergantung kepada kita semua

Hampir 25 tahun selepas penubuhannya, Wikipedia terus wujud kerana berjuta-juta orang di seluruh dunia percaya bahawa pengetahuan seharusnya dimiliki oleh semua dan mereka memilih untuk mengekalkannya bebas.

Jika anda ingin menderma kepada Wikipedia sekarang, sila layari donate.wikimedia.org. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara Wikimedia Foundation menggunakan dana sumbangan, sila rujuk catatan blog ini.

Read more: Our projects

Verbindung — Verbindung

Bleiben Sie über die Wikimedia Foundation auf dem laufenden

Kontaktieren Sie eine Person

Fragen über die Wikimedia Foundation oder unsere Projekte? Kontaktieren Sie unser Team.